Perjuanganku tiada penghujungnya...

Sunday, July 6, 2008

Suara tamadun..


Assalamu'alaikum wrt wbrth..

Salam kepada semua, sudah 3 hari saya tidak up date blog atas beberapa penumpuan perkara lain. Tiba-tiba hari ini dhamir saya terdetik untuk memetik siaran media yang pernah sahabat seperjuangan saya memberi respons tentang satu iklan yang pernah disiarkan di tv di Malaysia pada tahun 2004..Sama-sama menghayatinya...

Penjajahan budaya melalui iklan global

PAPARAN iklan produk gergasi sebuah minuman ringan multinasional di kaca televisyen yang menayangkan aksi berani dan berahi gabungan artis Pink, Britney Spears, Beyonce Knowles dan Enrique Iglesias nyata memualkan. Bagai direntap dhamir (hati kecil) saya apabila pertama kali iklan tersebut ditayangkan dengan kehadiran anak-anak kecil dan remaja belasan tahun yang seolah-olah terpukau dengan persembahan mereka.

Kegusaran saya semakin menebal apabila dari hari ke hari anak-anak kecil tersebut sudah pandai menggayakan aksi yang serupa. Saya amat hairan sebenarnya bagaimana iklan ini terlepas daripada sebarang penapisan atau sekurang-kurangnya diperlihatkan sensitiviti dan rasa hormat untuk tontonan umum.

Saya tidak peduli dengan bayaran atau keuntungan syarikat promosi dengan iklan yang membariskan artis ternama yang nyata pasti meraih keuntungan yang besar. Namun saya tidak akan dapat memaafkan sekiranya implikasi dan kesan iklan tersebut akan membobrokkan dan memperdaya minda generasi muda hari ini.

Strategi pemasaran yang membariskan artis ternama Barat Pink, yang terkenal dengan imej pelik dan aksi kurang sopannya. Tidak ketinggalan idola remaja dunia, Britney Spears yang mengundang kontroversi moral dan aksi berahinya. Ditambah dengan aksi lucah dan seksi Beyonce dan Enrique di dalam video klip masing-masing. Sekiranya ini yang dikatakan strategi pemasaran yang berjaya, saya akur. Tetapi jika ini yang akan dipertontonkan di layar televisyen di hadapan jutaan anak kecil dan generasi muda belia yang sedang membina jati diri dan baru hendak mengenal kehidupan, saya bangkang!

Saudara boleh bayangkan rasa cemas saya apabila melihat kostum mereka yang ternyata menjolok mata, ditambah pula dengan lenggokan dan aksi berahi yang ternyata jauh menyimpang dari nilai ketimuran dan sempadan agama. Yang lebih mengejutkan apabila lokasi kejam dan ganas sidang stadium ala Gladiator menjadi pilihan latar belakang iklan ini.

Mungkin dari sudut historiknya, sidang dewan tersebut merupakan kebanggaan tamadun Rom pada zamannya. Tidak kurang kesan kehebatan lakonan kepahlawanan Russel Crowe dalam filem Gladiator menjadi umpan menarik langganan dan keyakinan pelabur. Namun ternyata unsur tersirat yang mendalangi layar Gladiator tersebut tidak lebih daripada unsur keganasan, kekejaman serta pengorbanan yang tersia akibat kedangkalan dan kesombongan serta tidak sesuai untuk paparan masyarakat Islam di Malaysia.

Saya amat hairan bagaimana iklan ini dipaparkan tanpa sebarang saringan dalam usaha kita membina pemikiran generasi muda dan memantapkan pengisian Islam Hadhari. Saya sesungguhnya tidak nampak ke mana hala tuju iklan tersebut yang nyata hilang sensitivitinya, pupus moralnya malah tersingkir dari sebarang aspirasi budaya apatah lagi kehendak agama. Konservatif? Jumud? Saya terima! Kerana saya bukan lahir dari masyarakat yang melihat kelebihan material atau konsumerisme dalam memperkukuh bangsa.

Di akhir paparan iklan tersebut ada nota kakinya yang tertulis ``I punya cara''. Puas saya mengasah benak minda menafsir maksud frasa ayat tersebut. Seolah-olah menyorot kepada satu pilihan yang bersifat ateis dan terkini.

Malangnya jiwa saya tidak mampu menerima frasa tersebut. Malah saya bimbang sekiranya frasa tersebut disalahertikan. Mungkin saya akan dikategorikan sebagai golongan yang tidak up-to date atau tidak kontemporari kerana tidak faham dengan strategi pemasaran produk memandangkan begitulah kehendak arus pemasaran pengiklanan. Namun yang jelas perkara ini harus dilihat dalam konteks yang harus diperhalusi rasa sensitiviti dan hormatnya.

Saya yakin masih ramai lagi bilangan umat Malaysia khususnya ibu bapa atau sekurang-kurangnya individu yang prihatin terhadap isu implikasi iklan dan budaya konsumerisme yang mempunyai impak yang besar ke atas golongan remaja. Lebih utama bagaimana golongan muda memperkukuh daya saring agar tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif serta kecelaruan imej Barat khususnya dalam melahirkan pemimpin yang tidak terganggu jiwanya dan bebas dari sebarang kebobrokan penjajahan minda. Akhir kalam, saya tegaskan ini bukan ``kita punya cara''. - FADHLINA SIDDIQ, Kuala Lumpur.

Kirim pendapat anda melalui emel pendapat@utusan.com.my

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home