ConVo 2008 WiThOut Me...
Ha..ni la antara rakan-rakan seperjuanganku menongkah arus politisasi dan komersialisasi di medan Dar al-Hikmah, Kajang Selangor. Semoga kalian tabah menyonsong arus kependidikan yang digagaskan ini..Sesungguhnya ALlah telah menjanjikan dalam susah ada senang dgn syarat lakukannya dengan bersungguh-sungguh..Bersama ni aku masukkan sekali warkah retreat ni yang aku kirimkan. Aku nukilkan ketika baru mula2 sampai di Dublin sempena retreat staf ke-5. Inilah kali pertama suaraku tidak bergema di dewan retreat mereka..isk3...
Warkah ini ditujukan kepada seluruh warga Dar al-Hikmah yang cekal menongkah ombak dan badai menyonsong arus politisasi dan komersialisasi dunia kependidikan.
Dimulakan dengan do’a, memohon kesejahteraan buat seluruh warga Dar al-Hikmah. Puji-pujian kepada Tuhan yang memperkenalkan diriNya kepada manusia dengan sifat kasih sayangNya setiap hari dengan pendidikan Al-Fatihah, diulang-ulang dalam sehari minimumnya 34 kali dalam 17 rakaat ( 2,4,4,3,4) sebagai meyakinkan kepada kita semua akan sifat kasih sayangNya.
“Sesungguhnya ilah kamu Ilah Yang Satu, tiada ilah lain selain Dia, Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.” (al-Baqarah:163)
Solawat dan salam kepada Ar-Rasul s.a.w yang tanpa henti selama 23 tahun menyambung perjuangan Bapa Kemerdekaan dan Kemanusiaan kita iaitu Nabi Ibrahim a.s dalam menyerapkan kalimah tauhid La ila ha ill Allah dalam diri setiap kita. Moga warga Dar al-Hikmah menyingkapi hikmah kalimah tersebut sebagai kekayaan terbesar dalam hidup.
Terima kasih atas kesudian memperdengarkan warkah dari perantauan dalam Retreat kali ke 5 ini. Bersempena retreat kita ini, marilah sama-sama kita memanjatkan kesyukuran yang tidak putus-putus kepada Allah swt kerana telah menghimpunkan hati-hati kita bersatu dalam usaha mengembangkan institusi pendidikan Islam yang kita semua cintai ini.
Ya, memang tidak mudah menguruskan institusi pendidikan secara bersendirian tanpa bantuan dari kerajaan. Namun apalah ertinya sebuah kerajaan yang punya kuasa politik dan ekonomi berbanding kita yang punya suatu sistem tarbiyyah yang mantap dan terbukti mendapat pengiktirafan dari langit dan dibawa pula oleh seorang Rasul yang memang mendapat jaminan syurga dari Rabbul Jalil. Sememangnya perkara ini jangan dipandang remeh kerana di saat syarikat Gergasi Besar Dunia tercari-cari apakah kod dan etika tataurus korporat yang perlu dipraktikkan untuk mengelakkan tumbangnya syarikat tersebut, KDH sudah punya suatu prinsip yang tidak boleh dinafikan akan keberkesanan, kerelevanannya sehingga ke akhirat. Begitulah uniknya sebuah institusi pendidikan Islam yang mengikut piawaian Tuhan. Rupanya KDH lebih jauh baik dari gergasi-gergasi bertaraf dunia!
Mungkin pandangan saya merupakan suara orang muda yang cetek pengalaman, belum bertemu dengan ujian membeli susu dan pampers, membayar rumah dan kereta, namun bukakanlah ruang kepada hati dan minda masing-masing untuk memikirkan sejenak kebenaran warkah perantauan ini.
Memang untuk hidup memerlukan suatu kuasa ekonomi yang mantap dan kukuh. Namun kalau kita ditakdirkan Allah berada di suatu tempat yang punya status ekonomi yang sederhana, maka terimalah seadanya namun berkreativitilah semaksimumnya. Tuhan sangat menerima usaha kalian dan percayalah! Usaha kalian pasti dinilai. Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang. Usaha kalian mungkin akan dipantulkan dalam bentuk keselamatan kepada keluarga dan orang tua kalian mahupun anak-anak yang soleh dan berjaya suatu hari nanti. Sesungguhnya itulah harta yang paling berharga untuk dunia mahupun akhirat.
Bersangka baiklah dengan Tuhan. Mana tau dengan kesungguhan kalian bekerja memajukan kolej ditambah pula hati yang bersih dan ikhlas maka Allah bukakan pintu-pintu hati orang yang berdana dan berharta datang mendermakan sebahagiannya.
Percayalah kepada janji Tuhan! Jangan takut jika kuasa ekonomi institusi kita tidak setaraf dengan UniKl atau Uniten kerana Allahyarham Dr Burhanudin Helmy, pejuang kemerdekaan Tanah Melayu yang mendahului Tunku Abdul Rahman lahir dan membesar dalam keluarga miskin kerana ayahnya seorang petani sahaja. Pak Hamka pada umur 17 tahun tidak punya wang tetapi sampai juga ke Mekah dengan pertolongan Tuhan. Imam Malik juga adalah seorang guru miskin. Pernah suatu hari, kayu bumbung rumahnya roboh. Beliau kemudian menjual kayu itu untuk mendapat sedikit wang untuk perbelanjaan hidupnya. Namun, Allah murahkan rezekinya hingga menjadi kaya. Dengan kedudukan itu, beliau memakai pakaian mahal dan bau-bauan yang baik. Imam Malik adalah seorang yang cergas dalam menuntut ilmu. Imam Syafie pula, hidup dalam kemiskinan, hingga beliau terpaksa mengumpul batu-batu, belulang, pelepah tamar dan tulang untuk ditulis di atasnya. Beliau kadang-kala terpaksa ke tempat perhimpunan orang ramai meminta kertas untuk menulis pelajarannya. Saya yakin anak-anak kita tidaklah sesusah seperti mereka semua.
Biarlah kita tidak kaya dengan jutaan wang ringgit tapi berbanggalah jika kita kaya dengan idea dan cita-cita mendidik para dhu’afa’ menjadi generasi al-qawiy wal amiin. Usah menjadi seperti Barat yang meletakkan sepenuh nasib hidup pada wang ringgit! Namun tiada salahnya menjadikan wang ringgit sebagai motivasi untuk hidup. Lihatlah pada tahun 1990an, apa yang telah terjadi kepada Syarikat Gergasi Enron, Greenbury, Smith, Hampel, Turnbull dan Cardbury yang tumbang bukan kerana tidak punya dana malah berbilion-bilion kapital yang dipunya. Namun masih juga tumbang musnah! Pelbagai langkah telah diambil untuk memulihkan syarikat-syarikat korporat tersebut. Pelbagai cadangan, langkah diambil.pada tahun 1992 bermulalah kepada pengenalan corporate governance, etika, kod-kod kepada syarikat untuk dipatuhi oleh staf, pengurusan dan juruaudit dan pemegang saham, namun masih lagi tidak dapat membaiki keadaan. Tahun 2002, timbul pula cadangan mengubah bilangan pengarah syarikat, penubuhan komiti-komiti untuk memantau pengurusan syarikat, namun masih lagi tidak dapat mengatasi kemelut dan kebobrokan. Lalu di mana ubatnya?
Tidak lain dan tidak bukan ubatnya kembalilah kepada nikmat terbesar yang Tuhan anugerahkan. Marilah kita mantapkan sistem tarbiyyah yang telah ABIM gagaskan 36 tahun yang lalu. Praktikkan! Sistem tarbiyyah yang telah digagaskan itu tidak bukan tidak lain adalah warisan amalan Ar-Rasul s.a.w dengan sahabat-sahabat. Solat jamaah, bacaan Al-Mathurat, makan bersama, ukhuwwah kekeluargaan, semua itu telah sebati dengan jiwa warga KDH. Maka tambahkan perhatian dan penekanan kepada aspek tersebut. Barat tidak ada ini semua. Sebab itulah sehingga sekarang mereka masih mencari-cari petua untuk mengurangkan penipuan-penipuan dan penyelewengan penyata kewangan. Namun jika berlaku jua dalam persekitaran kita sudah pasti bukan salah tarbiyyah kerana tarbiyyah adalah gagasan junjungan mulia.
Untuk terakhirnya, wahai rakan seperjuangan, kita hidup, kita bekerja atas satu tiket dan platform iaitu atas tiket kita adalah orang Islam. Selain rasa selamat dan selesa yang dimiliki di bumi Malaysia yang aman, sebagai tanda syukur, marilah kita perkukuhkan rasa selamat itu dengan melipat gandakan usaha kita mempertahankan agama Islam, agama yang satu-satunya diterima oleh Tuhan Ilah yang satu. Usah dibezakan dengan perbezaan kita dibesarkan dengan berlainan latar belakang pendidikan. Selagi kita berdiri atas satu tiket yang sama iaitu Islam, sama-samalah kita bertungkus lumus menyelaraskan sistem hidup dengan menyerlahkan Islam merupakan suatu cara hidup kepada sesama kita dan para pelajar kita. Berilah galakan kepada diri kita dan pelajar untuk terus berkarya dengan program-program perjuangan yang disediakan kerana itulah tempat praktikal terbaik untuk kita menguji daya tahan dan kekentalan. Elemen kekentalan dan daya tahan sangat diberi perhatian oleh Tuhan. Kalau tidak masakan Allah berfirman dalam Surah Quraisy bahawa Nabi terakhir kita adalah berbangsa Quraisy yang merupakan bangsa militan, kuat menghadapi tentangan alam, mampu menentang terik panasnya musim panas dan sejuknya musim dingin yang mengembuskan angin sejuk menyayat telinga. (Pak Imad: 2002).
Rabbana hablana hukman, wa alhiqna bis solihiin.
Sekian, terima kasih atas perhatian. Wallahu a’lam.
Daripada:
Normazita Ismail
Akademi Kajian Ketamadunan
Kolej Dar al-Hikmah/ Dublin Ireland.
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home