Perjuanganku tiada penghujungnya...

Sunday, August 3, 2008

Kenangan Bersama Pak Imad

Assalamu'alaikum wrt wbrth.

Emel dari Sekretariat Wadah dan SUA ABIM mengejutkan saya. Kenyataan media mengenai pemergian Dr Ir Imaduddin Abd Rahim (Pak Imad) membuatkan sy terkesima seketika. Saya ingin melahirkan rasa sedih dengan pemergian beliau. Semoga Allah mencucuri rohnya bersama para mursalin. Sedikit perkongsian kenangan saya dan beberapa sahabat ketika bersama Pak Imad.

3 Dec 2004 merupakan tarikh saya sebagai ahli AJK Helwa ABIM Pusat dan beberapa teman pimpinan ABIM Pusat, Negeri dan Daerah yang saya ingat pada masa tersebut seperti Razak Idris, Ahmad Saparudin, Khairul Arifin, Azareka (Kini Helwa Selangor) dan beberapa teman lagi dihantar ke Latihan Mujahid Dakwah yang dipimpin oleh Pak Imad. Latihan ini dianjurkan oleh ABIM Pusat di Dewan Anjung Rahmat. Pak Imad yang punya harakat kemerdekaan manusiawi dan kesungguhan jihadi yang sangat tinggi cukup meninggalkan satu kesan yang mendalam tentang erti tauhid kepada saya dan teman-teman sehingga kini. Sepanjang berjalannya 'training' tersebut, pendekatan Pak Imad yang cukup bersahaja tetapi sangat tegas, dengan menggunakan Tafsir Al-Quran dan dipetik pula ayat2 dakwah sehinggakan menitik airmata beliau ketika membacanya, cukup memahamkan bahawa Pak Imad betul-betul ingin memberitahu bahawa dakwah merupakan suatu jalan yang mulia, tiada penghujung akhirnya walaupun kematian bakal memanggil tiba. Pak Imad menyematkan dijiwa saya satu ayat yang besar maknanya yang bermaksud:

"Jangan kau katakan mereka yang telah terbunuh dalam jalan Allah itu mati; kerana sesungguhnya mereka itu hidup, engkau tiada mengerti" (al-Baqarah: 154)

Pak Imad mengupas buku yang ditulis "Kuliah Tauhid"-(merupakan himpunan kuliah subuh yang disampaikan kepada mahasiswa ITB Indonesia) selama dua hari 'training' tersebut. Pak Imad mengupas satu persatu tentang erti tauhid yang sebenar. Tauhid yang sebenar adalah ketika ketika meletakkan Tuhan Allah satu-satunya tempat fokus, pengharapan dan tumpuan yang paling tinggi , utama dan pertama dan juga paling penting dalam kita menguruskan kehidupan seharian. Persoalan tauhid dikupas sangat mendalam satu persatu sehingga hari ini saya masih lagi mengulang2 membaca buku beliau untuk memahamkan dan mempraktikkan tauhid kepada Allah yang satu seutuhnya. Berkait persoalan tauhid, Pak Imad mengungkapkan setiap manusia diberikan nikmat kehidupan, nikmat kemerdekaan dan nikmat hidayah. Nikmat kehidupan memang diberi secara percuma kepada setiap makhluk termasuk manusia. Nikmat kemerdekaan juga diberikan kepada setiap manusia semenjak dilahirkan. Justeru itu, manusia perlu mempertahankan kemerdekaan untuk meneruskan kebutuhan hidup yang bermakna. Oleh itu Allah memberikan fasiliti akal dan rasa untuk manusia gunakan dalam mempertahankan kemerdekaan. Sebab itu kalau kita tengok di negara orang putih lagi senang untuk mempraktikkan kebebasan bersuara kerana mereka memaksimumkan akal yang diberikan. Kesannya nilai kemerdekaan mereka nampaknya lebih tinggi dalam harakat kemanusiaan maka lahirlah golongan yang tinggi nilai keyakinan mereka.

Melalui "training" Pak Imad saya dapat mempelajari bahawa dengan menggunakan nikmah akal dan rasa yang Allah anugerahkan, kita tidak perlu ada rasa takut, hormat, kagum dan ketergantungan yang berlebih-lebihan dan ia mudah dikawal bahkan dicegah jika manusia mahu dan mampu memanfaatkan dua fasilitas yang dikurniakan Allah sebagai nikmatNya yang tertinggi kepada manusia.

Melalui 'training' ini kami mula memahami akal dan rasa yang dianugerahkan ini sangat memberi erti kepada diri kami dalam mendefinisikan apa itu "manusia". Yang namanya manusia adalah apabila mereka perolehi kemerdekaan. Kalau tidak ada kemerdekaan, tapi fizikal sahaja manusia, maka jadilah hidup bercerminkan bangkai.

Pak Imad memahamkan peserta dengan akal, manusia bisa menimbang, menganalisis, memahami dan akhirnya membuat keputusan dan akhirnya membuat atau menentukan pilihan yang baik untuk dirinya. Sedangkan dengan fasiliti rasa, manusia akan mampu meresapkan dan menciptakan keindahan, menghayati dan mengubah kesenian. Dengan mengembangkan nikmat rasa manusia akhirnya bisa menjadi pencinta kebenaran, keindahan atau kesucian dan keadilan bukan sekadar menjadi penuntut kebenaran (hak) dan keadilan. Nikmat rasa jika berkembang subur juga akan menjadikan manusia mampu menghargai keseimbangan dan keharmonian bahkan akan meningkatkan watak manusia yang sungguh-sungguh mengembangkannya akan menjadi manusia pengasih, penyayang, pencinta yang sentiasa rindu dan terikat (committed) kepada kebenaran, keseimbangan, keserasian dan keadilan, Kerinduan dan keterikatan kepada kebenaran dan keadilan ini bisa sedemikian rupa kuatnya sehingga ia sanggup berkorban, kalau perlu, untuk memperjuangkan dan mempertahankannya. Inilah pula landasan iman serta penyebab utama tumbuhnya watak khusyu' atau asyik (rindu) akan "Kebenaran Mutlak" (al-Haq).(Kuliah Tauhid: MS 31 & 32)

Menurut Pak Imad, bagi manusia yang berkualitas cerdas, berilmu, terdidik, cinta dan merasa terikat (committed) akan kebenaran dan keadilan, maka Allah akan menganugerahkan nikmat tertinggiNya iaitu Hidayah Iman. Hanya manusia yang berkualiti sahaja yang akan dianugerahkan nikmat tertinggi ini. Maka ia tidak akan datang percuma dan bersahaja. Kita perlu bersungguh-sungguh berjuang memaksimumkan fasilitas akal dan rasa yang kurniakan untuk menjadi orang yang berilmu. Pak Imad mengungkapkan dalam bukunya lagi "sedangkan Jauhari tidak akan memasangkan intan di atas cincin tembaga, konon pula Allah yang Maha Arif ingin memberi nikmat hidayah iman itu secara bersahaja dan percuma tanpa kita berusaha. Kena dengan ayat yang dibaca oleh beliau ketika dalam 'training' tersebut:

"Mereka yang berjihad (bersungguh- sungguh) di jalan Kami pasti akan Kami tunjuki (beri hidayah) jalan-jalan Kami. Sungguh, Allah bersama orang yang berbuat baik." (al-'Ankabuut: 69)



Di kesempatan yang jauh di alam maya ini, saya ingin merafakkan rasa syukur kepada Allah kerana memilih saya dan sahabat2 mengikuti Latihan Mujahid Dakwah ini. Jauh di sudut itu, saya mengucapkan setinggi-tinggi syukur juga atas kelahiran Madrasah ABIM yang menggagaskan sistem dakwah dan tarbiyyah yang lengkap untuk diikuti. Dhamir peribadi saya mengatakan skema usrah sekali seminggu, diisi dengan makan bersama, solat berjamaah dan mathurat, perbincangan tafsir/ hadis dan menghadami isu semasa berakhir dengan perbincangan produk usrah untuk masyarakat bagi saya merupakan latihan terbaik untuk kita mengembangkan nikmat akal dan rasa dalam mengejar hidayah iman. Perlunya kesungguhan dan kerajinan untuk keluar rumah berusrah ke rumah sahabat-sahabat merupakan jalan untuk melatih kita bersungguh-sungguh keluar dari 'complacent area' untuk mencerdaskan minda mendidik akal menjadi orang yg cintakan ilmu dan kebenaran.

Kini hanya tinggal kenangan. Saya kini bermusafir mencari secedok ilmu di Dublin Ireland, memohon doa dari ayahanda2/bunda2/ sahabat2 semoga usaha fardhu kifayah ini dapat dibawa pulang ke tanah air untuk manfaat ummah. Insya ALlah. Akhir kalam, saya sertakan sajak yang terpahat dalam buku Kuliah Tauhid buat tatapan semua.

What money will buy:

A bed but not sleep
Books but not brains
Foods but not appetite
Finery but not beauty
A house but not a home
Medicine but not health
A house but not a home
Medicine but not health
Luxuries but not culture
Amusements but not happiness
Religion but not salvation



~me: dhaif dae~

Normazita Ismail
BPP College
Dublin Ireland.


0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home